RM 9 Billion Untuk Belanja Rokok
Pakar psikologi, Ali Zaeri dipetik sebagai berkata, perokok di sini biasanya berusia antara 17 dan 40 tahun tetapi yang lebih membimbangkan adalah peningkatan bilangan gadis yang menghisap shisha.
Jeddah merupakan tempat paling popular dalam senarai tempat merokok dan menghisap shisha, katanya.
Pakar itu berkata, ada beberapa kedai yang melanggar undang-undang dengan menjual rokok kepada remaja berusia bawah 18 tahun, malah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun juga pernah dilihat membeli dan merokok.
Pada 2010, seorang pegawai kesihatan berkata, jumlah perokok di Arab Saudi mencecah enam juta termasuk 600,000 wanita dan 772,000 remaja.
Pekerja asing juga antara penyumbang jumlah perokok yang ramai di negara ini walaupun kempen kesihatan banyak dibuat, undang-undang mengehadkan dan pandangan baru mengenai kesannya ke atas perokok pasif.
Zaeri berkata, “Ada kumpulan mafia yang mahu meningkatkan penjualan rokok di Arab Saudi dan anggotanya akan menggunakan apa saja untuk mempromosi penggunaan tembakau dan menghalang kajian mengenai penyakit disebabkan merokok.”
Pegawai di Arab Saudi, antara negara yang paling tinggi mempunyai perokok di dunia, sentiasa menekankan pengharaman merokok di tempat awam.
Menteri Dalam Negara, Putera Ahmad bin Abdul Aziz, Julai lalu berkata, “Ini adalah negara Islam dan kita perlu menjadi contoh kepada negara yang lain dalam melaksanakan undang-undang Islam yang menggalakkan penganutnya tidak membazir dan membantu meningkatkan kesihatan awam.”
Katanya, mereka harus menekan bahawa merokok di tempat tertutup, termasuk kedai kopi, restoran, pusat beli-belah dan di tempat orang ramai, adalah diharamkan. Pengharaman itu termasuk menghisap shisha.
Julai lalu, hakim Arab Saudi membenarkan wanita yang menderita kerana suami seorang perokok, dibenar memfailkan dakwaan ke atasnya.
Hakim Ebrahim Khodairi berkata, “Dalam sesetengah kes, keputusan boleh dicapai di mana pasangan itu dibolehkan bercerai.”
Hakim itu berkata, sekiranya isteri mendapati suaminya seorang perokok dan wanita itu mempunyai masalah kesihatan akibat rokok suaminya, perkahwinan mereka boleh dibatalkan.
Sementara itu penghisap shisha, diberi masa hingga Sabtu ini untuk memuaskan keinginan mereka menghisap asap tembakau manis di kafe di Jeddah sebelum pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan mengharamkan menghisap shisha di tempat awam. - Gulf News
0 comments:
Post a Comment