Menurut kenyataan Tabung Haji di Kuala Lumpur, petugas Tabung Haji mengesan kepulan asap di tingkat bawah bangunan itu pada pukul 8.15 pagi (waktu Arab Saudi) sebelum mengambil tindakan mengosongkan bangunan yang juga dikenali sebagai Maktab 92, dengan memindahkan jemaah ke bangunan bersebelahan Abraj Al-Janadiriyyah untuk sementara waktu.
Menurut kenyataan Tabung Haji itu, laporan awal pihak bomba Arab Saudi mendapati asap itu berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh jemaah haji yang menginap di situ dan tersangkut di saluran paip bangunan.
"Keadaan kini telah kembali seperti biasa dan jemaah haji Malaysia juga telah dipindah masuk semula ke bangunan tersebut (maktab 92) pada pukul 10.40 pagi (waktu Arab Saudi)," menurut kenyataan itu.
Sementara itu di MAKKAH, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihati jemaah Haji supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji supaya tidak menghisap rokok di dalam bangunan.
Dua jentera bomba Arab Saudi dikejarkan ke tempat kejadian dan mengesahkan tiada kebakaran kecuali asap dari puntung rokok tersebut.
"Bagaimanapun, asap dan bau telah masuk ke kawasan lobi," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Katanya tiada kejadian tidak diingini berlaku semasa insiden.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment