Music

Hina Nabi : Reaktif atau Proaktif


1. Hari ini saya cuba untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku, menonton sendiri sedutan filem 'The Innocence Muslims', mendengar pandangan para asatizah dan ulama' dari dalam dan luar negara dan turun bersama-sama dengan ratusan muslim lain untuk merasai dan menilai suasana. Buat yang belum tahu, filem ini dilhasilkan oleh seorang yang bernama Sam Bacile (namun kemudian didapati tidak ada manusia dengan nama ini) dan diberitakan filem ini ditaja oleh 100 orang Yahudi (Saya tidak berjumpa dengan sumber fakta ini lagi).
 

2. Sesiapa yang telah menonton filem berkenaan pasti boleh bersetuju bahawa filem tersebut memang disengajakan untuk menggalakkan muslim turun berprotes. Tujuan utama filem itu diterbitkan adalah supaya orang Islam turun membakar dan membunuh. Maka, dengan terbunuhnya seorang konsulat Amerika di Libya, maka berjayalah hasrat pihak yang menerbitkan filem ini. Filem ini terang-terang menunjukkan wajah dan tubuh badan Nabi Muhammad dengan karakter yang cukup menyimpang dan merendah-rendahkan Rasulullah, setiap bait skrip dan lakonan memang disengajakan untuk menghina Islam. Terdapat aksi seksual melibatkan Nabi dan isteri-isteri baginda yang cukup menjengkelkan. Tiada langsung nilai seni padanya dan ini diakui oleh pakar-pakar seni di Amerika sendiri. Sinematografi dan rakaman suara yang sungguh teruk, yang jelas disengajakan.
 



3. Di Mesir, Kerajaannya telah mengharamkan penyiarannya di youtube, Dr Mursi telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan menjejak ke bumi Amerika sehingga filem tersebut ditarik balik oleh pihak yang berkenaan. Berlaku protes dan pembakaran bendera Amerika. Di Libya, keadaan lebih parah apabila konsulat Amerika telah dibunuh oleh para demonstran. Secara prinsipnya, pembunuhan konsulat adalah salah di sisi syara'; apa yang berlaku tidak sepatutnya sampai ke tahap ini, manakala pembakaran bendera Amerika juga mungkin masih boleh dipersoalkan kewajarannya. Terdapat beberapa kumpulan muslim di Libya dan Amerika yang telah mengecam tindakan pembunuhan tersebut. Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, sendiri telah mengecam tindakan ini dan telah mensarankan agar kesemua kepimpinan negara Islam agar menjaga keselamatan kedutaan Amerika daripada diperlakukan sedemikian rupa lagi.


4. Naluri seorang insan, kita akan marah apabila orang kita sayang dihina dan dicerca. Kita mengimani bahawa beriman dan menyayangi Rasulullah itu sesuatu yang wajib malah, tidak sempurna iman seseorang muslim jika tidak menyayangi Rasulullah melebihi dirinya. Cuma, persoalan yang perlu dijawab adalah bagaimana sebenarnya marah berkenaan perlu disalurkan. Bagaimanakah muslim sewajarnya bertindak, menggunakan peluang yang ada untuk menyampaikan mesej-mesej Islam dan menerangkan siapakah sebenarnya Rasulullah?
 


5. Ada yang tidak langsung bersetuju protes. Kata mereka, ia menunjukkan muslim tidak berfikir panjang. Sepanjang pengamatan saya berada di himpunan tengah hari tadi, antara perkara positif yang saya boleh ambil daripada tindakan reaktif tersebut adalah ia dapat menyalurkan maklumat tentang isu yang sedang berlaku, mendidik rasa sayang kepada Rasulullah dan sebagai salah satu ruang untuk menyampaikan kemarahan secara terkawal. Namun, apa yang saya khuatiri adalah berapa ramaikah sebenarnya di kalangan yang hadir, malah di kalangan penganjur sekalipun yang telah menonton filem berkenaan supaya mereka lebih teliti dalam merangka plan yang terbaik. Juga, saya juga takut, ia hanya akan terhenti dengan menjelmakan kemarahan tanpa sebarang tindakan yang lebih proaktif dan oportunis.
 


6. Saya ada terbaca satu keratan akhbar di mana sekumpulan muslim di sebuah negara Eropah yang telah menyebarkan buku berkenaan Rasulullah. Mereka mengambil peluang ini untuk berdakwah dan menyampaikan yang benar, bukan mengambil kaedah protes. Mereka dilihat tidak menari dengan rentak yang telah diatur. Adakah ini sesuatu yang lebih baik responnya daripada turun berprotes?
 


7. Saya sangat memahami pandangan yang anti-protes ini, namun saya berpandangan bahawa tidak menjelmakan rasa marah kita apabila Rasulullah dihina seolah-olah kita tiada sensitiviti terhadap apa yang berlaku. Jika kini ada mengecam mengapa perlu berdemonstrasi, tapi jika ia tidak berlaku, saya pasti akan ada pula suara yang mengatakan adakah muslim 'pengecut' dengan tidak berkumpul menyatakan ketidaksetujuan mereka. Maka, saya berpandangan bahawa turun untuk menyatakan kemarahan itu tidak mengapa, tetapi dengan keadaan wajib rakyat yg turun itu perlu jelas apa yang sebenarnya berlaku dan dikawal emosi mereka. Dalam keadaan Mesir telah mengharamkan filem itu ditonton, bagaimana rakyat Mesir boleh membuat sebarang kesimpulan apa respons yang terbaik? Adakah sekadar dengar-dengar cerita? Dan di sinilah datangnya tugas manusia yang menggerakkan himpunan ini.
 


8. Saya difahamkan bahawa DPPM akan menganjurkan himpunan di hadapan Kedutaan Amerika minggu hadapan jika filem itu tidak ditarik balik. Tidak mengapa berkumpul dengan aman, cuma saya berpandangan adalah lebih molek jika ia juga digunakan untuk mengedarkan risalah tentang Rasulullah mungkin. Mungkin juga, konsulat Amerika yang bakal ditemui (saya jangka ini akan berlaku) diadakan dialog dengannya, mungkin dihadiahkan buku atau apa sahaja bentuk bahan yang boleh mendidik mereka siapa sebenarnya Rasulullah. Apa-apa sahaja yang menunjukkan bahawa ada tindakan proaktif dan 'lebih profesional' dalam menangani isu ini.
 


9. Sebagaimana Islam dihina dan dicerca semasa insiden September 11 atau pengeboman stesyen Tube di London atau ribuan lagi tragedi yang menuduh bahawa Islam sebagai dalangnya, makin ramai yang mendekati Islam. Kadar 'revert' kepada Islam berlipat kali ganda, hasil daripada langkah proaktif muslim serta sikap ingin tahu orang bukan Islam. Maka, insiden seperti ini juga sepatutnya menjadi medan dan peluang dakwah. Biar bukan Islam kenal kita sebagai insan yang cukup sayang dengan Rasulullah dengan marahnya kita tapi pada masa yang sama mempunyai akhlak yang baik untuk membawa mesej Islam yang sebenar. Hikmah di sebalik insiden yang dilihat cukup buruk buat mata kita.
 


Kawal emosi dan bertindaklah dengan matang. Tanamkan dalam diri kita rasa bangga sebagai seorang muslim. Marah biar bermaruah =)


Sangat bersetuju dengan artikel...memang kita marah dgn tindakan mereka..Tetapi, dengan membalas dengan keganasan adalah tidak elok dan sememangnya pihak yg memusuhi Islam menantikan tindakan sedemikian. Oleh itu, kita hendaklah bijak menangani isu ni..

sumber MFORUM
Share on Google Plus

About Halim

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment