Rakyat Johor buang 3.5 juta kg sampah sehari !
MUNUSAMY (kiri) melihat sampah sarap yang dibuang di laluan belakang rumah kedai di Pusat Komersial Permas Jaya, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri mendedahkan, penduduk di Johor menghasilkan sebanyak 3.5 juta kilogram (kg) sampah sehari.
Menurut Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad , angka itu menyebabkan Johor tersenarai antara negeri yang 'menjana' pelbagai sampah sarap tertinggi di negara ini.
Katanya, jumlah itu dijangka bertambah sebanyak 3.5 peratus setiap tahun iaitu selari dengan kadar pertumbuhan populasi di negara ini.
Menurutnya, setiap isi rumah di negeri itu menghasilkan 4kg sampah sehari dan perkara itu berlaku kerana sikap penduduk di negeri ini yang tidak mengamalkan kitar semula sampah.
"Kebanyakan benda yang dibuang seperti botol plastik, kertas, tin aluminium yang mana semua material itu boleh dikitar semula termasuk sisa makanan yang dibuang," katanya ketika ditemui semasa Operasi Pembersihan Awam yang dilakukan secara besar-besaran di kawasan Permas Jaya di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M. Munusamy.
Berdasarkan pemantauan pihak PPSPPA, Zainal Fitri berkata, sekiranya separuh sampah yang dibuang oleh orang awam itu dikitar semula, kira-kira 1,500 tan sampah dapat dikurangkan setiap hari.
Mengenai operasi itu, beliau memberitahu, pihaknya menjalankan operasi pembersihan awam secara besar-besaran dan bersepadu mulai semalam setelah pihak konsesi yang dilantik untuk berbuat demikian gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan pihaknya.
"Kerja-kerja pembersihan akan berterusan selama dua minggu di seluruh negeri Johor dan melibatkan 500 tenaga kerja daripada Southern Waste Management Environment Sdn. Bhd. dan subkontraktor," katanya.
Antara kawasan yang diberi tumpuan oleh PPSPPA ialah sekitar Permas Jaya, Taman Universiti, Kelapa Sawit di Kulai Jaya, Taman Limpoon dan Taman Kemajuan di Batu Pahat serta Kampung Bukit Mambai di Labis.
Tiga lagi kawasan iaitu Kampung Melayu, Taman Sri Paloh dan Taman Kemakmuran yang terletak di Kluang turut terlibat.
"Kita mahu pastikan semua kawasan itu benar-benar bersih dan diisytiharkan sebagai kawasan putih.
"Ia memerlukan kerjasama orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata seperti di tepi jalan raya kerana kita telah bekalkan sebanyak 90,000 tong sampah ke setiap rumah," katanya.
0 comments:
Post a Comment