KUALA LUMPUR, 14 SEPT 2012 - Telatah yang mencuit hati dan gelagat spontan yang penuh humor dan gila-gila membuat Johan, pelawak terkenal negara kini tidak pernah gagal untuk menghiburkan masyarakat umum.
Namun begitu , kebanyakannya juga mungkin tidak mengetahui sifat sebenar jejaka ini. Johan mengaku bahawa dia seorang family man dan agak serius jika berada di luar waktu bekerja.
Perkara ini telah mengundang beberapa peristiwa di mana Johan dan keluarga ditemui di luar dan disapa dengan cara yang dsifatkan Johan sebagai kurang sopan dan adakalanya langsung tidak menghormatinya sebagai seorang individu serta insan sendiri.
Dia yang nyata terkejut dengan insiden berkenaan telah meminta agar individu tersebut supaya tidak mengulangi perkara sebegini kepada sesiapa pun. Dia mahu para peminat dan juga umum lebih peka dengan isu ini kerana dia mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap pelawak.
Bagi Johan, tidak kira apa pun status selebriti tersebut, mereka perlu dilayan sama rata. Tiada istilah pelawak boleh disapa sesuka hati apatah lagi di luar waktu dia bekerja iaitu menghiburkan anda.
“Apabila bekerja, saya mengeluarkan semua idea, lawak jenaka yang saya mampu untuk menghiburkan anda. Tetapi apabila habis sahaja waktu bekerja, saya sudah letakkan diri saya sebagai Johan yang menjadi milik anak, isteri dan keluarga saya.
“Jika bertemu peminat di luar adakalanya saya terpaksa menolak untuk bergambar atau berborak kerana masa saya ketika itu harus dihabiskan dengan famili saya. Anak saya pun sekarang dah tahu, jika saya ajak ke tempat tumpuan, mereka menolak kerana tahu pasti akan mengganggu masa mereka bersama saya.
“Tapi bukan selalu saya tolak, cuma tengoklah macam mana mereka menegur dan keadaan di waktu itu. Kadang-kadang ada yang tidak kena cara menegur dan mereka melakukannya secara suka hati sahaja.
“Apabila berlakunya insiden disergah di tempat umum serta ditolak seolah-olah telah mengenali saya dengan lama serta meminta saya membuat lawak ketika saya mahu membeli makanan dan sebagainya, saya rasa ia kurang sopan.
“Sejak daripada itu, mulalah timbul pelbagai cakap-cakap yang mengatakan saya sombong dan sebagainya. Sombong atau tidak itu bukan soalnya, cuma mereka tidak menghormati pelawak sepertimana selebriti lain. Jadi saya ingin minta pada umum, supaya hormatilah kami para pelawak ini, bukan hanya saya tetapi semua pelawak-pelawak yang lain,” jelasnya panjang lebar mengenai pengalamannya sepanjang bergelar pelawak.
Isu ini ujarnya bukan hanya terkena pada Johan, ia juga melibatkan keluarga dan anaknya. Menurut Johan lagi, anaknya pernah diejek dan diugut hanya kerana mereka tahu dia merupakan anak kepada Johan.
“Saya tidak tahu macam mana mahu menjelaskan perkara ini kepada masyarakat. Mungkin tanggapan mereka terhadap pelawak berbeza. Walhal setiap manusia, apa pun status mereka perlu ada sifat hormat menghormati.
“Keluarga adalah keutamaan saya yang pertama, jadi saya minta jika anda benar-benar peminat Johan, tolong fahami permintaan saya ini. Saya bukan tidak mahu melayan anda jika terjumpa di luar waktu saya bekerja, cuma ia bergantung kepada keadaan dan caranya.
“Ini tidak, ada yang tahu budak ini anak saya, terus mengejek dia dan mengucapkan kata-kata yang kurang sopan. Bagi saya kenapa perkara ini harus berlaku hanya kepada pelawak. Saya dah menyumbangkan idea saya pada masyarakat tetapi lain pula jadinya.
“Melawak adalah cara saya cari makan, jadi di waktu saya bekerja saya harap anda terhibur dan gunakan lawak saya sehabisnya di waktu tersebut. Bukan menggunakan lawak tersebut untuk perkara yang tidak elok,”ujar penyampai radio Era FM itu dengan kesal apabila ada yang salah faham mengenai prinsip dirinya.
Bagi pemilik nama Mohamad Yazid Lim, sebagai seorang individu yang telah berhempas pulas membuatkan masyarakat gembira dan terhibur, dia berharap dia akan terus diterima dan dia tidak pernah mengeluh mencari ruang untuk menghiburkan penonton dengan jenakanya. Diharap para peminat juga boleh menerima pegangan dirinya itu dan menghormatinya sepertimana selebriti dan orang lain.
Sumber: Murai.com.my
ARTIKEL LAIN:
0 comments:
Post a Comment